Isnin, 22 September 2014

Sehari di Program Pengurusan Bangunan Berstrata



Salam,

Pada 13 Sept yang lalu, saya menghadiri Program Induksi Format Kurikulum Pengurusan Bangunan Berstrata di Bagan Lalang, Selangor. Seramai 40 orang peserta dan tetamu jemputan hadir pada program ini.

Program ini bagus. Ia bertujuan untuk meningkatkan pemahaman peserta terhadap pengurusan bangunan berstrata yang lebih terancang dan sistematik. Diantara topik perbincangan ialah peraturan memilih dan melantik kontraktor, kaedah mengawal selia penyenggaraan dan cara pelaksanaan, perlindungan insurans, pengurusan kewangan dll.

Sebahagian peserta yang saya sempat berbual memberitahu, program ini dapat memahamkan mereka kepada teknik dan model pengurusan yang dapat dilaksanakan melalui pendekatan yang lebih logik dan  praktikal.

Namun, masalah utama yang dihadapi oleh pihak pengurusan bangunan ialah isu kutipan yang tidak dapat menampong kos penyelenggaraan. Kata seorang peserta, jawapan kepada isu itu ialah kalau semua pemilik menjelaskan caj penyenggaraan mereka, apa yang kita rancangkan akan dapat dilaksanakan. Tetapi isu ini nampak mudah, tetapi sangat susah nak selesai.

Saya berpendapat, mungkin pihak berkuasa perlu campur tangan dan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang ada, harus lebih tegas dan keras kerana Pihak JMB dan MC tidak berupaya melaksanakannya. Maklumlah, kuasa mereka terbatas dan semangat kejiranan perlu juga dijaga. Mungkin kaedah yang digunakan di negara lain boleh diambil rujukan.

Wasalam.

Jumaat, 12 September 2014

Membina Keperibadian Anak-Anak yang Ceria




Wajah-wajah Elmyra yang periang dan ceria
Salam,

Dalam satu majlis 'lunch talks' yang saya hadiri baru-baru ini, seorang penceramah memberitahu, anak-anak yang ceria lebih bersedia untuk menatang diri mereka, lebih kreatif untuk mencuba hal-hal baharu dan memiliki jiwa yang sihat. Keperibadian yang ceria ini dapat dibina sejak anak-anak itu kecil lagi, apa yang utama ibubapa harus mewujudkan suasana yang bahagia kepada anak-anak. 

Dan itulah impian saya dan Isteri, supaya anak-anak kami memiliki keperibadian yang ceria. Kami mahu mereka mempunyai sifat percaya diri dan dapat menatang diri mereka untuk mengharungi cabaran hidup masa depan.

Maklumat dari program ini bagus, dan saya ingin kongsikan bersama pembaca beberapa tips untuk membina keperibadian yang ceria untuk anak-anak anda:

Menjadikan anak teman bermain

Ibubapa yang menyempatkan masa untuk bermain bersama anak-anak akan menimbulkan rasa gembira kepada anak-anak dan dapat menjalinkan hubungan yang erat bersama ibubapa mereka.

Menyanyi bersama anak-anak

Menyanyi bersama anak-anak lagu-lagu yang disukai mereka dapat mewujudkan suasana gembira dan kemesraan dalam keluarga.

Memberikan anak-anak pelukan

Memeluk anak-anak sebelum tidur malam dan sewaktu perasaan mereka tertekan akan membuat mereka tenang dan merasa dilindungi. Ia juga dapat meredakan emosi negatif mereka.

Mengucapkan Terima Kasih

Jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih apabila anda meminta bantuan atau meminta anak-anak melakukan sesuatu, kerana ucapan terima kasih itu mereka merasa diperlukan dan dihargai.

Saya sekadar berkongsi ilmu yang berguna ini untuk para pembaca. Mungkin boleh dijadikan amalan.

Wasalam.

Khamis, 4 September 2014

Bersatu: Formula Tepat untuk Malaysia yang Makmur dan Sejahtera

Salam,

Saya menonton ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan ke 57 di MATIC melalui siaran TV.

Perutusan Perdana Menteri pada kali ini bersemangat dan terbaik, kerana disampaikan secara langsung di hadapan kahalayak ramai, tidak seperti amalan biasa melalui rakaman terlebih dahulu.

Saya begitu tertarik dengan amanat beliau supaya kita rakyat Malaysia bersatu untuk mewariskan kepada generasi akan datang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ditinggalkan untuk kita, iaitu sebuah Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera. Memang betul, hanya melalui kebersatuan kita boleh mencorak masa depan kita sendiri dan mencapai apa jua cita dan hasrat.

Saya pun teringat kata Presiden Barack Obama di majlis jamuan di Istana Negara pada 27 April 2014, semasa lawatan beliau ke negara kita. Beliau turut berpesan Malaysia boleh mencari kekuatan dari kepelbagaian etnik dan agama untuk mengukir masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang.

'The key word' dari kedua-dua tokoh pemimpin ini ialah 'BERSATU'. Bagi saya inilah formula tepat yang patut dijiwai oleh setiap rakyat Malaysia dan wajib diamalkan dalam apa jua cita dan cabaran.

Wasalam.