Selasa, 31 Disember 2013

Selamat Datang 2014

Kpd teman-teman!

Selamat menyambut tahun baru 2014

Semoga kita hijrah kepada yang lebih baik dan diberkati

Isnin, 16 Disember 2013

Nelson Mandela - Manusia Luar Biasa




Salam,

Semalam (15.12.13) adalah hari pemakaman mantan Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela di Qunu, Afrika Selatan. Dunia kehilangan tokoh besar ini, figura yang menjadi ikon anti-aparteid dan simbol perjuangan untuk keadilan, kesetaraan dan kesaksamaan sesama manusia.

Saya amat mengagumi Mandela, pertamanya, kerana sangat kukuh memegang prinsip dan misi perjuangannya, keduanya, memiliki ketabahan hati yang luar biasa dan keberanian yang tidak luntur dalam memperjuangkan hak asasi manusia, dan ketiganya bersifat pemaaf serta tidak memusuhi mereka yang telah menindas dan memenjaranya selama 27 tahun.

Mandela telah mengajar kita bagaimana melawan penindasan dan kelaziman tanpa menggunakan kekerasan. Atas sifat mulianya itulah saya rasa perlu mencatatkan manusia luar biasa ini di blog saya.

Wasalam.

Jumaat, 13 Disember 2013

Pelajaran Berguna: Bagaimana Menjadi Seorang Yang Luar Biasa

Salam,

Baru-baru ini saya menghadiri seminar 'Quantum Growth Leadership' dimana fokus utama adalah untuk menimbulkan inspirasi kepada para peserta supaya menjadi seorang yang luar biasa setiap hari, agar tercermin nilai peribadi yang lebih bermakna kepada diri, rakan sekerja dan pekerja yang dipimpin.

Saya ingin berkongsi satu perkara asas yang wajib diperelokkan jika kita mahu menjadi seorang yang luar biasa, iaitu tinggalkan corak sikap 'pattern' kita yang negatif kepada positif. Contohnya; hentikan tabiat berburuk sangka dan belajar bersikap terbuka terhadap orang lain.

Saya juga mempunyai sikap-sikap negatif yang tercorak dari pergaulan dan persekitaran sehari-hari saya. Apa yang saya pelajari dari seminar ini ialah bagaimana untuk beranjak ke paradigma pemikiran baharu dengan menjadi komandan terhadap sikap negatif dan pengaruhnya kepada kehidupan kita sehari-hari. Jika kita ingin menjadi seseorang yang lebih baik, jangan bertangguh, mulailah berubah tetapi harus langkah demi langkah dan tidak berfikir sekaligus.

Pemikiran, perasaan dan tingkahlaku perlu berubah bersama-sama, kerana kesepaduan unsur jasmani, emosi dan rohani adalah gabungan yang penting untuk menggerakkan perubahan sikap negatif kepada positif yang akan membawa kita kepada nilai-nilai murni. Antaranya sikap budi pekerti yang tinggi dan perhubungan baik bersama keluarga, rakan dan pekerja. Seterusnya dapat menghasilkan daya usaha yang memuaskan, rajin, berdisiplin dan inovatif.

Seperkara lagi yang menarik hati saya terhadap pengajaran dari seminar ini ialah menggunakan kata-kata yang betul dan berinspiratif. Contohnya: kata-kata perangsang terhadap usaha, ide dan hasil kerja orang lain seperti ' i support you, i know you can be better' daripada memberi kritikan yang boleh membantut semangat mereka. Memang benar seperti apa yang dikatakan oleh fasilitator seminar tersebut 'words have power so choose your thoughts and words'

Saya dah mula mengamalkan ilmu yang saya perolehi itu. Saya dapati ia sangat membantu saya untuk meringankan stress kerja, merasa tenang dan meningkatkan gairah dan motivasi diri. Saya sekadar berkongsi ilmu ini, mungkin berguna juga kepada teman-teman.

Wasalam.

Jumaat, 6 Disember 2013

Pengalaman Memancing Di Pulau Sembilan, Perak


Saya (baris 2 tengah) dan Rakan Ekspedisi
Azman memantau joran-jorannya

Fauzi bergambar bersama tangkapannya
Salam,

Memancing bukanlah hobi utama saya, sekadar berseronok untuk 'sport fishing'. Saya pernah memancing di beberapa tempat seperti di Tasik Kenyir, Sungai Dinding, Port Dickson dan beberapa tempat lagi.

Namun, saya dapati, memancing adalah aktiviti yang mendatangkan keseronokan apabila dapat bergelut dengan ikan yang menyambar mata pancing. Disamping dapat menyaksikan keindahan alam seperti laut biru yang luas, kecantikan matahari senja, kejernihan air tasik serta udara yang segar nyaman. Cuma saya agak alah dengan panahan matahari dan air laut. Saya amat bergantung kepada 'sun protection lotion and moisturizer' setiap kali menyertai ekspedisi memancing.

Pada 29 November 2013 yang lalu, saya berkesempatan untuk menyertai beberapa orang kawan memancing di Pulau Sembilan, Perak. Tujuan saya menyertai mereka di samping memancing adalah untuk mengeratkan lagi hubungan sesama sahabat dan menikmati keindahan ciptaan Tuhan.

Pulau Sembilan merupakan 'De Anglers' Paradise' kepada kaki pancing, kerana terdapat pelbagai spises laut di sekitar kepulauan tersebut. Pulau-pulau yang terdapat di kawasan ini ialah Pulau Rumbia, Pulau Lalang, Pulau Jarak, White Rock dll. Bagi saya ia adalah kepulauan tercantik di negara kita, kerana pantainya yang bersih, air yang jernih dan pemandangan yang indah, lagipun ia masih tidak tercemar kerana pulau-pulaunya tidak berpenghuni. Pulau Lalang dijadikan tempat kami berteduh dan berehat kerana di sini terdapat bekalan air tawar semula jadi yang mengalir dari bukitnya.

Pengalaman memancing bersama kawan-kawan dan kaki-kaki pancing yang lain amat berguna kepada saya, kerana saya dapat belajar kaedah dan teknik yang betul ketika memancing seperti 'Bottom, Jigging, Casting, Popping and Trolling'. Alhamdulillah, hasil pancingan banyak, ikan-ikan yang dapat kami naikkan ialah Jenahak, Kerapu, Talang, Pari, Alu-Alu dll.

Saya melihat keseronokan dan kepuasan tergambar di wajah kawan-kawan, mereka bercadang untuk kembali ke Pulau Sembilan pada pertengahan tahun 2014. Mungkin saya akan turut serta.

Wasalam.

Rabu, 4 Disember 2013

Kenangan Bercuti Di Ho Chi Minh City, Vietnam

Danish di Cu Chi Tunnel
Bergambar kenangan bersama kumpulan folks 'Tai Tu Music'
Sampan Ride di Ben Tre Canal
Salam,

Pada kali ini, saya ingin mencoretkan percutian saya dan keluarga di Ho Chi Minh City. Telah banyak diperkatakan orang tentang bandaraya ini, terutamanya sebagai tempat membeli belah barangan berkualiti dengan harga yang murah dan kopi Vietnam yang lazat.

Saya dan isteri belum pernah ke Ho Chi Minh City dan teruja untuk bercuti ke sana. Peluang itu tiba pada bulan March 2013 yang lalu. Maka kami empat beranak pun berlepas dengan Air Asia. Penerbangan dari Kuala Lumpur hanya mengambil masa dua jam sahaja. Kami tidak menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, hanya berpandu kepada maklumat berguna dari rakan-rakan blog yang berkongsi pengalaman mereka.

Alhamdulillah, percutian kami di sana mudah dan memuaskan, pertamanya, tempat makanan halal banyak, pelancong Malaysia pun ramai dan taklah rasa bimbang berada di sini, tambahan pula orang-orang Melayu Champa ramai yang berniaga di sini. Berkomunikasi dengan orang-orang tempatan pun mudah juga kerana mereka yang saya temui boleh berbahasa Inggeris asas.

Banyak tempat yang kami lawati, Cho Ben Than Market amat popular di kalangan pelancong Malaysia. 'shopping di sini boleh lupa ingatan' kata seorang makcik yang saya temui. Di sini makanan halal amat mudah seperti di Serai Malaysian Retaurant, Kampung Melayu Restoran, Restoran Halal Saigon dll.

Di Ho Chi Minh City banyak tempat yang boleh dikunjungi, selama 5 hari kami di sana, banyak tempat yang dapat kami lawati, seperti Saigon Central Post Office yang berusia lebih seratus tahun, Cathedrale Notre-Dame De Saigon, gereja yang cantik senibinanya, War Remnants Museum, peninggalan perang US-Vietnam, Jamia Than Duong Mosque dan banyak lagi.

Anak-anak kami nampaknya lebih teruja menyusuri Mekong Delta terutamanya aktiviti bersampan di Tan Thach Canal in Ben Tre yang menyusuri sungai-sungai kecil yang dikelilingi oleh pohon-pohon kelapa laut. Disamping singgah di Tortoise Island untuk melawat orchard and fruit garden, coconut candy workshop serta melihat persembahan musik vietnamese folk songs yang dikenali sebagai Tai Tu Music.

Sedikit tip untuk teman-teman yang ingin melancong ke Ho Chi Minh City tanpa menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan. Pertamanya, buat penyelidikan dan persediaan perjalanan yang rapi, contohnya: maklumat yang boleh didapati di blog dan facebook, maklumat hotel penginapan, alamat dan gambar hotel, perkhidmatan bas, teksi dan kereta sewa berpemandu yang betul, peta tempat-tempat kunjungan, dapatkan alamat dan nombor Malaysian Embassy. Apa yang penting, bila tiba di sana, cari masjid dahulu untuk mendapatkan maklumat tentang kemudahan muslimin dengan para jemaah di sana. Manakala membeli belah menggunakan US dollar lebih mudah berbanding Duong.

Banyak yang boleh dicoretkan di sini, saya rasa memadailah dengan sedikit makluman buat teman-teman yang ingin ke sana.

Wassalam.

Selasa, 3 Disember 2013

Hobi Baru Saya: Bermain Musik

Salam,

Saya suka musik kerana iramanya yang mengalun dapat membangkitkan kembali semangat dan mendatangkan ketenangan. Minat saya sekadar mendengar dan suka menonton orang bermain musik, lagi pun pengetahuan saya terhadap musik sangat dasar.

Namun, apabila saya berpindah tempat kerja pada Oktober 2012, dan melihat rakan-rakan sekerja bermain musik pada waktu lapang mereka, pemahaman saya terhadap musik lebih meluas. Seorang teman saya memberitahu 'bermain musik ni dapat menghilangkan tekanan di tempat kerja Bang'. Manakala seorang lagi teman berkata 'musik membolehkan intreaksi sosial di tempat kerja lebih baik kerana musik menjadikan pelbagai peringkat pekerja berkumpul dan berinteraksi serta dapat membangkitkan perasaan kebersamaan' katanya lagi.

Saya pun turut terangsang untuk bersama mereka, buat permulaan saya diajar tentang nada dasar dan adunan yang menjadikannya lebih merdu. Saya turut diajar untuk bermain 'shaker'. Penelitian saya mendapati musik memiliki manfaat dan fungsi kognitif yang sangat baik.

Meningkatkan ketajaman dan daya ingat:
Bermain musik boleh merangsang otak, ia memerlukan tumpuan terhadap ketepatan nada dan irama, merasa dan menceritakan lagu. Ia juga memerlukan kita fokus kepada hal-hal seperti pitch, ritme, tempo dan nota serta suara. Secara tak langsung merangsang otak kanan dan kiri kita bekerja.

Membangkitkan persefahaman dan kerjasama
Bermain musik amat memerlukan kita bekerja dengan orang lain, perlu ada kerjasama bagi memperindahkan iramanya secara sepadan dan harmoni. Kita perlu belajar bagaimana bermain secara bersama. Tidak ada seorang pemain yang boleh merasakan dirinya lebih menonjol, setiap ahli berperanan supaya dapat menghasilkan musik yang merdu mengikut nada lagu secara bekerjasama.

Meningkatkan ekspresi diri
Apabila sudah menguasai instrumen yang kita bermain, semakin tinggi penghayatan dan perasaan kita terhadap lagu yang kita mainkan. Ia menjadikan kita lebih kreatif  untuk memainkan sesuatu irama seperti apa dan bagaimana yang kita inginkan.

Musik dapat menenangkan hati
Mendengar dan bermain musik bukan sekadar menenangkan hati kita, tetapi dapat membolehkan otak kita mengeluarkan sejenis sel yang dipanggil sebagai 'Endorphin'. Ia hanya diperolehi apabila seseorang itu merasa rileks dan gembira atau apabila ada rangsangan berupa sesuatu yang membuat kita merasa rileks dan bersemangat. Endorphin membuat ketenangan dan kegembiraan kita menjadi sempurna.

Saya terfikir, apakah dengan gambaran yang dinyatakan di atas, masih ada orang menganggap bermain musik itu tidak baik. Saya sekadar berkongsi pengalaman.

Wasalam.