Jumaat, 29 November 2013

Arthur : Guru dan Sahabat Terbaik Saya

Kheng, Arthur dan Saya
Salam,

Kali terakhir saya mengemaskini halaman ini pada Disember tahun lalu. Manakala sepanjang tahun 2013, langsung tidak berkesempatan untuk berkongsi cerita bersama-sama teman blog ini. Pada hari ini, saya bertekad untuk memulakan kembali catatan peristiwa dan pengalaman hidup saya untuk dikongsikan bersama teman-teman. Mungkin berguna!

Pada 1 November 2013, seorang sahabat saya memaklumkan persaraannya dalam dunia korporat untuk menyumbang bakti di gelanggang baru yang lebih berkebajikan serta dapat mengisi waktu kualitinya bersama keluarga. Secara nyata, saya merasai kehilangan seorang tokoh hebat dalam pengurusan perniagaan. Beliau adalah guru dan sahabat yang paling berjasa terhadap perjalanan kerjaya saya.

Banyak yang saya pelajari dari tokoh ini, terutamanya dalam melaksanakan 'company and business turnaround'. Pendekatan beliau dalam memulihkan syarikat sakit dan mengekalkan kejayaan sangat menarik hati saya. Beliau mengutamakan kesaksamaan dan kesejahteraan dalam pengurusannya, tidak seharusnya dari sudut 'what good for business' semata-mata. 'We don't fire people but we fire them up' itu merupakan salah satu pendekatan beliau ketika menghadapi masalah semangat pekerja yang rendah dalam syarikat sakit yang beliau ingin pulihkan.

Saya mula mengenali beliau pada tahun 1991, sewaktu itu saya cuma seorang eksekutif kewangan dan beliau menjadi ketua di jabatan saya bekerja. Saya amat menghormati sikap beliau yang tegas, jujur, berani menyatakan pendiriannya dan tidak kedekut ilmu serta mudah diajak berbicara. Saya amat senang dengan ketua yang bersikap begitu. Kami lantas menjadi sahabat dan mengharungi cabaran kerja dengan semangat berkerjasama. Meminjam kata-kata yang saya terbaca dalam sebuah majalah, kata-kata ini sangat menepati penghargaan saya terhadap sahabat saya ini:

Arthur
a friend like you
is hard to find
harder to leave
impossible to forget

Bak kata orang tua-tua dahulu, dalam hidup ini, pastinya kita akan menemui seseorang yang amat kita bangga dan hargai, dan saya menemui Arthur.