Rabu, 31 Oktober 2012

Malala Yousafzai: Ada Keajiaban!

Salam,

Alhamdulillah, perkembangan terbaru keadaan Malala Yousafzai amat mengembirakan. Beliau telah sedar dari koma, malah sudah boleh berdiri walaupun dengan bantuan.

Bakhtawar Bhutto Zardari, menulis dalam Twitternya sebagai satu keajaiban, apabila gadis tersebut sudah boleh bangun dan berdiri. Sementara itu, seorang wartawan Canada, Irshad Manji turut menulis dalam blognya sebagai ada keajaiban pada susuk tubuh gadis ini.

Saya turut tertarik dengan pendapat Gayle Lemmon, penulis buku 'The Dressmaker of Khair Khana' bahawa Malala adalah simbol perjuangan anak remaja yang sangat berani mempertaruhkan nyawanya menghadapi ancaman Taliban yang melarang anak-anak perempuan bersekolah dengan hanya datang  ke sekolah setiap hari, duduk dan belajar.

Saya doakan Malala lekas sembuh, Amin.

Rabu, 17 Oktober 2012

Malala Yousafzai : Srikandi Remaja Pakistan

Amat Kejam! itu yang berlaku kepada Malala Yousafzai, seorang gadis berumur 14 tahun yang di tembak kerana menyuara dan memperjuangkan hak pendidikan untuk kanak-kanak perempuan di Lembah Swat Pakistan. Beliau diserang semasa pulang dari sekolahnya di Kota Mingora oleh seorang militan Tehrik-i-Taliban pada 9 Oktober 2012 yang lalu.

Malala merupakan seorang gadis yang bercita-cita tinggi. Beliau sangat ingin belajar dan mahu menjadi seorang doktor. Dia bukanlah gadis biasa, tetapi seorang aktivis yang memperjuangkan hak-hak pendidikan di Lembah Swat. Beliau menjadi terkenal di Pakistan kerana keberaniannya dalam menyuarakan penentangan terhadap dasar puak Taliban yang melarang anak-anak perempuan bersekolah di wilayah tersebut. Beliau menceritakan kisah hidupnya yang penuh duka dan ketakutan dibawah cengkaman puak Taliban yang membakar dan memusnahkan sekolah-sekolah untuk kanak-kanak perempuan melalui blognya.

Seorang jurucakap Taliban, Ehsanullah Ehsan memberitahu akhbar Pakistan Tribune Express bahawa Malala ditembak bukanlah kerana dia memperjuangkan hak pendidikan wanita tetap disebabkan gadis itu berfikiran sekular dan cuba mempelopori budaya barat di Lembah Swat. Percubaan bunuh tersebut juga sebagai satu amaran kepada remaja lain yang cuba mengikut pendirian Malala.

Berita terbaru mengenai Malala ialah beliau masih tidak sedarkan diri dan telah di terbangkan ke Queen Elizabeth Hospital di Birmingham England untuk rawatan lanjut.

Saya berpendapat kekejaman terhadap Malala Yousafzai dilakukan oleh mereka yang didasari oleh ideologi salah. Memperjuangkan idealisme bukanlah hal yang salah, namun jika perjuangan itu dengan melakukan kekejaman yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi orang lain akan dilihat sebagai sesat dan merosakkan..

Khamis, 11 Oktober 2012

Menghargai Ibu-Bapa

Emir, Saya, Isteri, Emak dan Bapa Mertua
Bapa dan Emak Mertua
Salam,

Semasa saya solat Jumaat di Shah Alam pada 5 Oktober 2012 baru-baru ini, saya tersentuh dengan khutbah bertajuk "kehidupan di usia senja" yang memperkatakan tentang sambutan 'Hari Warga Emas Sedunia" dan disambut setiap tahun pada 1 Oktober.

Intipati khutbah tersebut ialah Islam telah mensyaratkan supaya umatnya menghormati dan berbuat baik kepada orang tua samada ibu bapa, kaum kerabat dan sesiapa saja yang mencapai usia tua. Menghormati serta menghargai warga tua bererti berbuat baik kepada mereka dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan, memelihara dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka dengan tulus dan ikhlas. Disamping tidak sekali-kali cuba menyakiti hati mereka.

Khutbah tersebut membuatkan air mata saya tergenang mengingatkan kembali kepada Emak dan Ayah. Betapa saya pernah teralpa untuk memberikan mereka perhatian yang sebaik mungkin kerana kesibukan di rantau orang membina kerjaya dan mencari kekayaan. Kesenangan yang saya nikmati hari ini tidak dapat saya curahkan sepenuhnya kepada mereka. Emak dan Ayah sudah lama tiada.

Mujurlah saya masih mempunyai Ibu dan Bapa Mertua, peluang ini akan saya rebut untuk melaksanakan kewajiban dan tanggungjawab selaku anak, memelihara, mengasihi dan mengembirakan mereka serta tidak sekali-kali cuba menyakiti hati mereka.

Mungkin keinsafan ini dapat menjadi pendorong kepada anda untuk menzahirkan kasih dan sayang terhadap ibu-bapa anda pada setiap masa. Mereka tidak mengharapkan apa-apa balasan  daripada pengorbanan mereka kepada kita. Rebutlah peluang dan kesempatan yang ada itu untuk dapatkan keredhaan mereka.

Wassalam.                          .