Jumaat, 29 Jun 2012

Pengalaman Singgah Di Hong Kong

Star Boulevard di Victoria Harbour
Victoria Peak di Tai Ping Mountain
Ladies Market di Tung Choi Street
Salam

Sewaktu singgah di Hong Kong baru-baru ini, saya dan keluarga berkesempatan untuk bersiar-siar dan membeli belah di beberapa tempat menarik di kota raya itu, seperti Star Boulevard, Victoria Peak, Ladies Market, Stanley Beach dan Jiulong Mosque. Dikesempatan ini, saya ingin berkongsi bersama pembaca pengalaman kami di sana, mungkin berguna kepada anda yang ingin berkunjung ke Hong Kong.

Tempat pertama yang kami lawati ialah Star Boulevard atau juga dikenali sebagai The Avenue of Stars yang terletak di Nathan Road di persisiran Victoria Harbour. Di sini terdapat 'Floor Plaques' tapak tangan artis-artis ternama Hong Kong termasuk artis kita Michelle Yeoh. Ia merupakan daya tarikan pelancong yang popular kerana kami dapati begitu ramai pelawat di situ.

Kemudiannya kami mengunjungi Jewellery City Co. Ltd yang dimiliki oleh bintang ternama Hong Kong, Jackie Chan di To Kwa Wan Road. Di sini terdapat pelbagai jenis 'jewelry' yang cantik dan menarik dengan harga berpatutan. Saya dan isteri sempat juga membeli satu-dua barangan untuk kenangan.

Selepas makan tengahari di Surya Restaurant, kami ke Victoria Peak di Tai Ping Mountain, dimana kami dapat menikmati pandangan 'spectacular' kota raya tersebut pada ketinggian 552M atas paras laut. Kami tidak lama di situ kerana ingin bergegas ke pasar Ladies Market pula.

Pasar tersebut terletak di Tung Choi Street. Pelbagai barangan dapat dibeli seperti cenderamata, pakaian, aksesori wanita dan banyak lagi. Kata isteri saya di sini ia menguji 'bargaining skills' kita kerana penjual meletakkan harga yang tinggi dan akan menurun sehingga 50%-60% selepas tawar menawar. 

Namun, anda harus berhati-hati ketika membeli barangan di sini, kerana apa yang dipamerkan dan yang dibungkus mungkin akan berlainan kualitinya jika anda tidak teliti memilih. Ia terjadi kepada saya, kesnya, saya membeli beberapa helai T-Shirt sebagai buah tangan untuk dibawa pulang. Apabila balik ke hotel dan buka plastik bungkusannya baru tahu kualitinya jauh lebih rendah. Ah!! saya sudah terkena. Namun, ia satu pengajaran yang baik untuk saya lebih teliti dan bersabar lain kali.

Wasalam.

Rabu, 27 Jun 2012

Isteriku

Isteriku
Menatap wajahmu
Menikmati senyummu
Membuat aku nyaman di hati
Ada kedamaian setiap kali kau berada didepanku

Kelmarin
Bertambah satu usiamu
Terkenang kembali saat kau tiupkan lilin pertamamu bersamaku 5 tahun yang lalu
Dan kelmarin kita rayakan lagi kenangan waktu itu

Isteriku
Mungkin aku tidak mampu memberikan hadiah yang terbaik untukmu
Hanyalah hati, cinta dan kesetiaan yang dapatku persembahkan padamu
Selamat hari jadi sayangku

Isnin, 25 Jun 2012

Apalah Malangnya Menjadi Seorang Rohingya

Salam,

Penzaliman dan keganasan terhadap masyarakat Islam Rohingya di Rakhine, Myanmar bagaikan tiada kesudahan, malah semakin menjadi-jadi. Keganasan terbaru yang bermula sejak 4 Jun 2012 menyaksikan 10 lelaki muslim terbunuh apabila bas mereka diserang di Daerah Taungup.

Sebagai saudara seagama, sampai bila kita hanya mampu melihat saudara kita menjadi mangsa kempen penghapusan (extinction campaign) oleh etnik Rakhine dan rejim tentera negara itu. Menurut Bangsa-Bangsa Bersatu terdapat seramai 800 ribu masyarakat Rohingya tinggal di Rakhine State, dan beribu-ribu lagi menjadi pelarian di Bangladesh, Thailand dan Malaysia.

Isu penindasan terhadap kaum Rohingya bermula pada tahun 1982, apabila pemerintah junta tentera tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat Mynamar, dan dianggap sebagai kaum pendatang dari Bangladesh. Bertambah malang apabila kerajaan Bangladesh turut tidak mengiktiraf kaum ini dari kalangan mereka. Sekaligus menafikan hak mereka untuk menikmati kehidupan sama seperti rakyat Myanmar lain baik dari segi ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial.

Situasi kedua ialah masyarakat Rohingya merupakan kaum yang beragama Islam di sebuah negara dimana majoriti rakyatnya beragama Buddha. Ketegangan di Rakhine dilihat juga berpunca daripada diskriminasi agama. 

Saya berpendapat masyarakat Rohingya perlukan pembelaan. Pemimpin Islam dalam ASEAN boleh berperanan dalam perkara ini. Hal pokok adalah menyelesaikan isu kerakyatan penduduk Rohingya. Seterusnya mendapatkan jaminan daripada kerajaan Myanmar supaya penduduk Rohingya dapat menjalankan kehidupan seperti rakyat Myanmar yang lain.

PBB dan pertubuhan negara-negara Islam OIC turut diminta untuk campur tangan bagi menangani isu keganasan dan penghapusan etnik yang kian berlarutan, kerana nampaknya Presiden Thein Sin seperti tidak berupaya untuk mencari jalan penyelesaian segera terhadap krisis tersebut.

Saya sekadar memberi pandangan dan mungkin juga berguna.

Wasalam.

Selasa, 5 Jun 2012

Sehari Di Pusara Saad Bin Abi Waqas, Guangzhou China

 Pintu masuk ke pusara
Jalan masuk ke pusara
Pusara Saad bin Abi Waqas
Salam,

Semasa bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan di Guangzhou, China pada 24 Mei 2012 yang lalu, kami berkesempatan menziarahi pusara bapa saudara Rasulullah bernama Saad bin Abi Waqas atau dikenali sebagai 'The Sage's Tomb' yang terletak Guang Ta Lu Road.

Beliau diceritakan memiliki jasa besar kepada perkembangan Islam di China. Menurut catatan Lui Tschih, seorang penulis muslim China pada abad ke18 dalam bukunya Chee Chea Sheehuzoo (Perihal Kehidupan Nabi), Islam dibawa ke China oleh rombongan yang dipimpin oleh Saad bin Abi Waqas. Beliau diceritakan menyebarkan agama Islam semasa pemerintahan Maharaja Gaozong daripada Dinasti Tang pada tahun 650M.

Saad lahir di Kota Mekah dan merupakan sahabat yang ke7 memeluk Islam pada usianya 17 tahun. Beliau terkenal sebagai salah seorang panglima besar tentera Islam. Diantara peperangan yang beliau terlibat ialah perang Badar dan Uhud. Kehebatannya sebagai panglima Islam yang perkasa ialah ketika memimpin tentera Islam dalam perang Qadisiyyah melawan tentera Parsi. Ia merupakan salah satu peperangan terbesar dalam sejarah umat Islam.

Beliau meninggal dunia pada usia 80 tahun pada tahun 664M. Dapat menziarahi pusaranya sesuatu yang berharga buat kami dalam percutian ini.

Wasalam.