Rabu, 16 November 2011

Kisah Seorang Peniaga Tapai

Salam,

Setiap kali kalau saya ke pekan Tangkak, di Johor pada pagi Ahad, samada atas urusan kerja atau ziarah, saya tidak lupa untuk singgah di Pasar Tani, di Jalan Naib Long, kerana di sini terdapat tapai pulut dan ubi yang lazat untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.

Selain rasa tapainya yang enak, apa yang menambat hati saya ialah sikap peniaganya yang peramah, sentiasa tersenyum dan pemurah. Pakcik penjual tapai ini suka menambah satu atau dua bungkus produknya kepada pembeli sebagai hadiah.

Pada minggu yang lalu, saya berkesempatan untuk berbual panjang dengannya, sambil bertanyakan tentang perniagaan beliau itu.  Jualan tapai Pakcik laris di sini dan selalu mendapat tempahan awal dari pelanggan, katanya. Saya bertanyakan juga rahsia kejayaannya. Pakcik pastikan rasa tapai itu sentiasa sedap dan tidak berubah-ubah. Semasa membuatnya, badan kita kena bersih dan tidak bercakap yang bukan-bukan, jika tidak tapai itu kurang menjadi. Kita juga kena ramah dan melayan pelanggan dengan baik. Hadiahkan sebungkus dua barangan kita itu kepada pembeli untuk mendapat berkat.

Wah! hebat Pakcik ini. Saya rasa bertuah mendapat tips perniagaan sebegini, amat relevan dan harus menjadi contoh kepada peniaga yang lain. Pertamanya, Pakcik ini menjaga kualiti produknya secara konsisten, dengan memastikan rasa produknya itu sedap dan tidak berubah pada setiap kali dia berjualan. Kedua, beliau amat berdisiplin tentang menjaga kebersihan produknya, samada semasa membuatnya atau semasa berjualan. Ketiga, dia mempunyai strategi hubungan pelanggan yang baik, ramah dan mesra serta sentiasa tersenyum ketika melayani pelanggan. Keempat, menghadiahkan kembali sedikit keuntungannya kepada pelanggan. Kelima, beliau mahu segala usaha dan perniagaannya mendapat keberkatan Allah SWT.

Diakhir perbualan kami, saya sempat berjenaka dengannya. Kalau di Kuala Lumpur sana, saya terpaksa membayar untuk mendapat ilmu jualan ini dalam seminar atau bengkel usahawan, tetapi pada hari ini Pakcik memberikan saya ilmu yang amat berguna secara percuma.

Kesimpulannya, saya kagum dan sangat hormat dengan peniaga Melayu yang berpekerti tinggi seperti Pakcik penjual tapai ini.

Wasalam.

Jumaat, 4 November 2011

'Sexuality Rights' Yang Songsang


Salam,

Bulan November ini, kita dihangatkan dengan Festival Seksualiti Merdeka 2011, satu acara mengenai 'sexuality rights' dalam memperjuangkan hak para pengamal LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender) di negara ini. Tujuannya adalah untuk mengingatkan kita bahawa setiap orang di Malaysia berhak untuk menzahirkan diri mereka yang sebenar, dan bebas dari sebarang bentuk diskriminasi, keganasan ataupun gangguan hanya kerana orientasi dan perilaku seksual mereka.

Festival ini bukanlah satu program baru, tetapi telah diadakan secara tahunan sejak 2008 lagi dengan tema-tema hebat seperti 'Queer without fear (2011), Our bodies our rights (2010), We are family (2009) dan If one of us ain't free, none of us are!(2008). Ia diisi dengan mengadakan bengkel, perbincangan, tayangan filem, pelancaran buku, aktiviti seni dan sebagainya.

Namun, pada tahun ini penentangan terhadap festival ini datang dari banyak pihak kerana dilihat sebagai memperjuangkan kemungkaran, menodai adab dan budaya serta amat berlawanan dengan fitrah manusia. Semalam pihak polis telah mengeluarkan arahan kepada penganjur supaya membatalkan festival tersebut kerana melanggar undang-undang dan bertentangan dengan ajaran pelbagai agama di negara ini.

Saya terpanggil untuk memberikan pandangan saya terhadap gejala songsang ini, kerana berasa sedih mengapakah ada orang Melayu yang murni nilai adat resam dan budayanya turut terlibat dalam program seperti ini? Dan sebagai Melayu Islam, seharusnya tauhid kepada Allah menjadi pegangan pokok untuk kita bertindak benar dalam hubungan sesama manusia, diantaranya membimbing kita dengan prinsip mu'asyarah bil ma'ruf (pergaulan yang sopan dan santun), baik dalam hubungan kemanusiaan mahupun seksual.

Saya bimbang program seperti ini akan hanya memperdayakan orang Melayu, terutamanya mereka yang tidak sensitif terhadap nilai dan martabad bangsa akan turut serta menyuburkan amalan LGBT dalam masyarakat kita. Saya juga bimbang akan tiba masanya mereka akan menuntut untuk menghalalkan pula gejala 'incest sukarela' atas nama hak  dan kebebasan 'sexuality independence'. 

Gerakan hak dan kebebasan songsang ini wajib dihentikan dan perlu ada satu cara lain untuk membetulkan keadaan amalan LGBT di negara ini, yang nampaknya semakin menular dan berani. Ia laksana bara dalam sekam, kemungkinan ada matlamat yang lebih besar yang tersembunyi.

Akhirnya, syabas kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang telah bertindak betul dengan mengharamkan terus program ini.

Wasalam. 

Rabu, 2 November 2011

Sarina, Sahabat Yang Hebat

(Sarina@ tahun 2011)
Salam,

Kelmarin, saya dan rakan-rakan meraikan seorang sahabat kami yang akan berhijrah ke daerah baru, beranjak untuk meningkatkan keupayaan diri, melangkah untuk menabur bakti di gelanggang yang lebih mencabar. Ia satu tekad dan pembaruan diri yang 'continuous' bagi membina masa depan kerjayanya.

Sarina, seorang sahabat dan pekerja yang hebat, kerana itulah saya rasa perlu untuk mencatatkan wanita ini di laman ini. Dia seperti wanita -wanita melayu lain, cantik, bersopan santun, lemah lembut dan tekun bekerja. Saya kagum dengan personalitinya, bak kata orang tua-tua:-
Bercakap lurus berkata benar
Pantang sekali berlaku kasar
Ramah kepada kecil dan besar
Pantang memilih membezakan orang
Salah ditimbang baik dibalas
Di muka terang di belakang jelas

Sebagai pekerja, sahabat saya ini memiliki keupayaan membentuk arah, mengungkap ide dan dapat diajak untuk berkomunikasi, mampu memberi motivasi dan semangat kepada rakan kerja yang lain. Dijalur inilah, saya yakin Sarina akan terus berjaya dan melangkah maju dalam setiap pekerjaan, azam dan iltizamnya.

Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Nama yang baik jadi ingatan
Seribu tahun terkenang jua

Semoga Sarina dan keluarga sentiasa dilimpahi rahmat dan kasih Allah SWT.

Wasalam.