Selasa, 31 Ogos 2010

Sambutan Kemerdekaan Perlu Diisi Dengan Mengingati Perintis Dan Pejuangnya


Salam,

Hari ini kita merayakan Sambutan Kemerdekaan Negara ke 53. Namun, kelihatan seperti sudah redup dalam jiwa sebahagian orang Melayu untuk meraikannya sebagai peristiwa penting dalam sejarah bangsa. Seolah-olah sambutan itu sekadar upacara ritual tahunan yang tidak berisi.

Mungkin kerana kita sudah jauh merentasi perubahan dalam tempoh itu. Mungkin juga kerana kita telah berjaya mengisi nikmat kemerdekaan dengan pembangunan fizikal, ekonomi, pendidikan mahupun daya saing diperingkat global. Semua itu mungkin tidak dapat dirasai tanpa jasa nenek moyang kita yang mewariskan negara ini kepada kita dan generasi Melayu akan datang.

Nilai sambutan kemerdekaan perlu terisi dalam jiwa setiap anak Melayu dengan dikobarkan semangat untuk menyanjungi jasa-jasa para perintis dan para pejuangnya. Generasi muda kita perlu menghayati semangat nenek moyang mereka yang sanggup gugur bagi mengakhiri kolonialisme penjajah sejak tahun 1511 lagi. Semestilah, api semangat itu terus dinyalakan dalam kesempatan sambutan seperti ini agar anak-anak kita terus berjuang sebagai penerus bangsa dan demi Malaysia tercinta.

Tak mungkin kita dapat mencintai negara dan bangsa kalau tidak mengenal sejarahnya. Ini adalah kerana kesedaran sejarah mempertautkan makna masa lalu, masa kini dan masa depan survival bangsa.

Saya berpendapat bahawa mahu tidak mahu kita harus mengingat kembali perjalanan sejarah mereka yang muncul sebagai perintis kebangkitan bangsa Melayu untuk mengusir penjajah dari bumi bertuah ini. Mungkin ada pihak yang dapat mendokumentasikan biography pahlawan-pahlawan kemerdekaan kita itu bermula dari tahun 1511 sehingga 1957, atau ada para Sejarawan yang dapat membukukan senarai 100 pahlawan Melayu paling berpengaruh menentang penjajahan samada dari golongan Ulama, Nasionalis, Sosialis dan sebagainya. Sebagai contoh Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Haji Abdul Rahman Limbong, Dato' Maharaja Lela, Mat Kilau, Dato Onn Jaffar, YM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Abdullah CD, Rashid Maidin dan ramai lagi.

Mungkin juga wajar diadakan satu hari khas untuk mengingati para pejuang kemerdekaan ini dengan pengisian yang benar-benar bermakna.

Mungkin cadangan saya ini berguna.

Wasalam.

Isnin, 23 Ogos 2010

Ramadan Saya 40 Tahun Dulu

Salam,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca pengalaman saya dalam bulan puasa 40 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1966. Waktu itu saya masih anak-anak lagi, tetapi sudah dididik untuk berpuasa. Saya tinggal di Simpang Lima, Kampung Sitiawan, Perak. Ia merupakan sebuah perkampungan kecil yang tidak mempunyai bekalan air mahupun elektrik. Penduduk di sini hanya menggunakan telaga sebagai sumber air dan menggunakan pelita minyak tanah untuk menerangi malamnya.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah penggunaan sejenis alat idiofon yang dipanggil Keghontong, dan peranannya kepada masyarakat kampong pada waktu itu untuk kegiatan keagamaan mahupun untuk berkomunikasi. Keghontong ini diperbuat daripada batang nangka yang ditebuk lubang di permukaan tengahnya bagi mendatangkan gema yang kuat. Manakala alat pemalunya pula menggunakan kayu bakau sebesar lengan. Ia ditempatkan di anjung masjid dan di madrasah.

Pada bulan puasa Keghontong dipalu untuk menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Ia juga digunakan untuk membangunkan penduduk kampung pada waktu sahur, biasanya disekitar jam 4.oo pagi sehingga 5.oo pagi.

Apa yang seronoknya kepada saya ialah kanak-kanak dibenarkan oleh orang-orang tua untuk turut memalu keghontong di masjid bagi membangunkan penduduk kampung pada waktu sahur. Pada bulan-bulan lain kami langsung tidak dibenarkan menyentuhnya. Manakala, anak-anak muda yang lebih dewasa pula dibenarkan membawa Keghontong yang ringan dan bersaiz kecil ke sekeliling kampung sambil memalu dan melaung...bangkit-bangkit sahur!

Kegunaan utama Keghontong ini ialah untuk menandakan masuknya waktu solat. Cara pemaluannya ialah di pukul dengan tempo yang laju dan panjang serta diakhiri dengan pukulan kuat dan temponya perlahan satu demi satu mengikut rakaat solat . Contohnya, kalau paluan itu diakhiri dengan pukulan tiga kali yang kuat itu menandakan telah masuk waktu maghrib.

Selain itu, Keghontong juga digunakan untuk memberitahu penduduk kampong tentang adanya kematian dikampong tersebut, rentak paluannya sama cuma diakhiri dengan pukulan kuat, satu kali untuk kanak-kanak, lima kali untuk wanita dan tujuh kali untuk lelaki.

Semuanya itu hanya satu lembaran kenangan bagi saya yang tidak akan dapat dialami oleh anak-anak saya. Dunia semakin maju dengan teknologinya. Semoga catatan kenangan ini menjadi pengetahuan buat generasi moden kita.

Wasalam.