Isnin, 22 Disember 2008

Mencorak Disiplin dan Sumbangan Pekerja Melayu



Salam,

Lanjutan dari pendapat saya tentang pekerja Melayu dan disiplin, saya telah ditanya oleh dua orang teman, kaedah yang terbaik untuk memupuk disiplin dan sumbangan para pekerja. Sebenarnya, perkara ini telah banyak diperkatakan oleh mereka yang ahli dalam bidang pengurusan, samada melalui buku-buku ataupun dalam seminar-seminar yang berkaitan.

Saya lebih suka bercerita daripada pengalaman kerana itulah realiti sebenar yang saya ingin kongsikan. Bagi saya, menyemai dan memupuk disiplin serta sumbangan para pekerja haruslah mempunyai 3 ciri utama iaitu Kepimpinan, Budaya dan Dasar.

1. Kepimpinan
  • Stail kepimpinan dan pola pemikiran pemimpin adalah terutama. Seorang pemimpin syarikat perlu ada kejujuran, integriti dan pembaharuan diri yang berterusan. Pemimpin memberikan teladan. Pemimpin perlu mempertahankan nilai luhur yang baik dan merupakan keutamaan. Seorang pemimpin yang berkesan bukanlah orang yang popular atau disanjung, tetapi pemimpin yang mempunyai pengikut yang merupakan orang-orang yang mengerjakan hal yang betul.
2. Budaya
  • Ciri kedua yang perlu digerakkan ialah budaya syarikat. Pemimpin syarikat hendaklah mewujudkan satu amalan budaya kerja yang bersepadu dengan membentuk kesefahaman dan kesatuan matlamat. Ia harus digerakkan melalui semangat bekerja sebagai satu pasukan. Saya berpendapat bahawa yang menggerakkan syarikat ke tingkat yang lebih maju dan berdaya saing adalah digerakkan oleh pekerja yang bersemangat, bermotivasi, berjati diri yang sanggup berkorban tenaga dan fikiran mereka.
3. Dasar
  • Saya dapati, syarikat yang berdaya maju telah mengubah struktur mereka dari bersifat birokrasi kawalan kepada satu struktur yang lebih "simple dan flexible" dengan lapisan birokrasi yang semakin kurang. Pekerja dianggap sebagai aset yang bernilai tanpa mengira kedudukan, pangkat dan kelayakan mereka. Setiap pekerja mempunyai potensi dan kekuatan masing-masing. Pemimpin syarikat harus bertindak sebagai pemudah cara kepada para pekerja. Pemimpin syarikat juga perlu berusaha mencungkil dan mengilap segala potensi yang ada pada para pekerja mereka.
Kesimpulannya, jika anda seorang usahawan yang ingin melihat para pekerja anda berdisiplin dan mampu memberikan sumbangan yang bermakna kepada syarikat. Anda perlu melihat kembali stail kepimpinan dan dasar anda. Sebagai pemimpin anda perlulah berani membudayakan manusia lain secara visioner dan bermoral. Anda perlu menjadi guru dan sekali gus murid yang mahu belajar.

Wasalam.

Ahad, 21 Disember 2008

Ahmad Nisfu - Lagenda Seorang Seniman Melayu


Salam,

Saudara pembaca, pada kali ini saya ingin berbicara tentang pelakon filem Melayu yang amat saya minati iaitu Seniman Ahmad Nisfu. Saya berbangga dapat memuatkan sedikit tentang Bintang yang saya kagumi ini. Disamping itu dapat juga menyerikan lagi kandungan Blog saya dengan variasi maklumat dan cerita.

Seniman Ahmad Nisfu bagi saya adalah lagenda seni lakon tanah air "A Super Star". Saya mula meminati Seniman ini bila melihat filem-filem lakonannya dikaca TV dan setiap kali kalau menonton filem Melayu di TV yang membariskan beliau sebagai pelakon, saya akan menontonnya hingga tamat. Ada kepuasan setiap kali menonton filem-filem yang menampilkan beliau. Biarpun dalam kebanyakan filem selaku "supporting actor" namun beliau berjaya membawa wataknya dengan begitu baik dan menjadikan filem-filem itu sangat menarik ditonton. Mungkin inilah "X-Factor" yang dimaksudkan oleh mereka orang-orang seni.

Boleh jadi kerana itu juga beliau dikagumi oleh Seniman Agong, Tan Sri P.Ramlee. Banyak filem-filem lakonan P.Ramlee seperti Nujum Pak Belalang, (1959), Musang Berjanggut (1959), Pendekar Bujang Lapok (1959), Antara Dua Darjat(1960), Seniman Bujang Lapok(1961), Ibu Mertua ku (1962) Tiga Abdul (164) dan Madu Tiga (1964) menampilkan Seniman Ahmad Nisfu.

Bagi saya beliau adalah seorang pelakon yang sempurna. Berikan apa saja watak, beliau dapat menjiwainya dengan sebegitu baik dan hidup. Lihat saja lakonannya sebagai Tengku Karim dalam filem Antara Dua Darjat, kita boleh menjadi geram dan membencinya. Manakala dalam filem Seniman Bujang Lapok, beliau bukan sahaja melucukan tetapi kita boleh terikut-ikut dengan dialognya seperti "kecik-kecik tak nak mampus, dah besar menyusahkan orang'.

Seorang pengulas filem di IMDb, The Internet Movie Database, Mad Janssen of The Netherlands memberikan komen yang sangat baik tentang kualiti lakonan Ahmad Nesfu, katanya "This is the perfect movie (3 Abdul) to watch Ahmad Nesfu at his evil best but even then, it's difficult to really truly hate him as he does it with such comedic contempt that you can't help but like him"

Ahmad Nisfu juga dikatakan sebagai seorang penulis. Cerita asal filem Ibu Mertua Ku adalah ditulis oleh beliau.

Sejarah hidup beliau tidak dapat saya perkatakan dengan banyak kerana tiada maklumat lengkap yang saya perolehi. Selain beliau berasal dari Tanjong Tokong Pulau Pinang, berbangsa Melayu dan mula terbabit dalam bidang seni sebagai seorang pelakon bangsawan. Di luar lokasi pula, beliau adalah seorang Imam atau Bilal di Surau Onan Road, Singapura. Pada penghujung hayatnya, beliau tinggal di sebuah Kubu Jepun di Jalan Labu Singapura tidak jauh dari Masjid Aminah di Jalan Nanas Off Geylang Serai. Tidak pula diketahui, bila beliau meninggal dunia, mungkin disekitar tahun 70'an kerana pada tahun 1970 dan 1971 beliau masih lagi dilihat berlakon, seperti dalam filem Puaka (1970) dan Mat Karung Guni(1971). Selepas itu tiada lagi berita mengenai beliau.

Saya difahamkan diusia akhirnya, beliau tinggal dalam keadaan daif dan sebatang kara. Ini amat menyedihkan bagi seorang penggiat dan pejuang seni filem Melayu yang banyak berjasa seperti beliau. Mungkin perlu ada sesuatu usaha dilakukan untuk mengingati sumbangan setiap mereka yang telah berjuang dan menghabiskan masa mereka untuk membangunkan industri filem Melayu di nusantara ini.

Al Fatihah.

Pekerja Melayu Dan Disiplin - Satu Renungan


Salam,

Saudara pembaca. Apakah benar tahap disiplin dan kesungguhan pekerja Melayu rendah berbanding pekerja bukan Melayu?

Seorang Ketua Pegawai Eksekutif Melayu yang pernah saya temui ada berkata bahawa pekerja Melayu suka ambil cuti sakit, masa minumnya lebih lama dari masa bekerja, ada yang tidak datang kerja hanya kerana hujan, datang lambat balik awal. Manakala seorang Presiden sebuah syarikat, yang juga seorang Melayu pula berkata bahawa beliau tidak suka mengambil pekerja Melayu kerana tak pandai kerja, lagipun orang Melayu kerja suka main-main.

Saya merenung jauh dengan penuh hiba kenyataan sebegitu. Apatah lagi jika datangnya dari ketua-ketua syarikat berbangsa Melayu. Ia sudah tentu memberikan kesan kepada pasaran pekerja Melayu. Akan tetapi, saya pernah bekerja dengan syarikat milik usahawan India dan sebuah syarikat yang majoriti pekerjanya dari kaum Cina. Saya juga pernah bekerja dengan sebuah syarikat antarabangsa Amerika. Syarikat-syarikat ini mempunyai sebilangan pekerja berbangsa Melayu, tetapi saya tidak pernah pula mendengar rungutan mereka tentang masalah disiplin para pekerja Melayu.

Jadi, dimanakah timbulnya masalah disiplin pekerja Melayu ini? Apakah itu memang satu tabiat pekerja berbangsa Melayu? atau adakah orang Melayu memang suka melawan peraturan dan tidak suka mematuhi tata tertib? atau sememangnya Melayu sukar dibentuk walaupun dididik dan dilatih?

Saya tidak menafikan bahawa masalah disiplin memang ada dikalangan pekerja Melayu, tetapi ia juga ada di kalangan pekerja bukan Melayu. Malah, sikap negatif ini wujud pada semua bangsa di dunia. Sikap, disiplin dan kualiti kerja terletak pada diri individu dan tidak boleh dilabelkan pada suatu golongan masyarakat.

Bagi saya, mereka yang menggambarkan pekerja Melayu tidak bersungguh dan tidak berdisiplin datangnya dari pengamatan dangkal dan prejudis terhadap keupayaan anak bangsa Melayu. Tahap kesungguhan dan disiplin pekerja Melayu sama seperti pekerja berbangsa lain:-
  • Pekerja Melayu memiliki sifat untuk berdiri setanding dengan pekerja-pekerja bukan Melayu dan mampu berusaha gigih untuk bersaing dengan bangsa lain.
  • Pekerja Melayu mempunyai daya kreatif dan inovatif yang sama dengan pekerja bukan Melayu.
  • Pekerja Melayu juga punya azam dan iltizam untuk memperbaiki kehidupan dan maju kehadapan seperti pekerja kaum lain.
Saya menyeru supaya janganlah kita turut terpengaruh kepada dakyah untuk memperkecilkan keupayaan para pekerja Melayu. Sebagai usahawan mahupun ketua syarikat, renunglah kembali kepada cara anda mentadbir syarikat anda. Bagaimanakah cara anda mengurus pekerja "people management"'.

Saya ingin berkongsi dengan anda pengalaman saya ketika bekerja di sebuah syarikat hartanah pada awal 90'an. Ia sangat menakjubkan, bagaimana Pengarah Urusannya menggerakkan para pekerjanya untuk membangunkan sebuah syarikat kecil menjadi gergasi dalam tempoh masa 4 tahun. Beliau sangat menghargai para pekerja sebagai aset no.1, menjaga kebajikan para pekerja sebagai keluarga, memberi para pekerja peluang untuk menyatakan pendapat mereka. Sebagai balasannya, para pekerja bekerja dengan bersungguh dan mengabdikan diri mereka demi kemajuan syarikat. Beliau berjaya melahirkan semangat cintakan syarikat dan mencapainya dalam tempoh masa yang pendek. Memang benar kata orang-orang tua manusia sanggup berkorban apa saja bila dah cinta. Fikirkanlah!

Akhirnya, harapan saya adalah kewibawaan bangsa Melayu dapat dikekalkan ditahap yang dihormati dan disegani di mata dunia sebagai bangsa yang progresif lagi dinamik

Wasalam.

Isnin, 1 Disember 2008

Emak


Mana ada perempuan sebaik Emak
Menjadi teman baik ku di hari-hari terbaik
Menjadi sebahagian ku di hari-hari yang terburuk

Mana ada perempuan semurni Emak
Yang tak menangisi kepayahan
Menerima dengan dakapan tulus
Ujian dan nikmat Tuhan

Mana ada perempuan setulus Emak
Dalam tawamu kau peluk aku
Dalam marahmu kau cium aku
Dalam doamu kau belai aku