Jumaat, 24 Oktober 2008

Rancangan Perniagaan dan kepentingannya - panduan untuk para peniaga Melayu


Salam.

Saya telah ditanya apakah pentingnya Rancangan Perniagaan itu? Seorang pelayar tidak akan memulakan pelayarannya tanpa adanya peta pelayaran. Begitulah umpamanya bagi seorang usahawan, dia memerlukan peta yang dapat menujukkan arah perjalanan perniagaannya supaya matlamat yang telah ditetapkan tercapai.

Sebagai seorang usahawan, sudah tentu anda mahu menjalankan perniagaan anda dengan terancang, penuh yakin dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Contohnya, bagaimana anda akan menghadapi perubahan permintaan ke atas produk atau perkhidmatan anda, kemasukan pesaing baru dalam pasaran, perubahan ekonomi, perubahan dasar kerajaan dan sebagainya. Pendek kata, anda perlu ada satu rancangan perniagaan anda sendiri yang dibuat dengan teliti dan realistik (carefully thought-out plan) serta bersesuaian dengan situasi anda.

Banyak faedah yang akan anda perolehi dari rancangan perniagaan anda. Pertama, ia boleh membantu anda menangani masalah perniagaan anda sebelum ia tidak terkawal (get out of hand). Kedua, ia memudahkan anda membuat keputusan dan membantu anda mengenal pasti peluang serta menetapkan matlamat perniagaan, Ketiga, ia dapat membantu anda mempromosikan perniagaan anda dan keempat, ia dapat menolong anda mendapatkan khidmat nasihat atau bantuan dari pihak bank, konsultan perniagaan, pembekal mahupun pelabur kerana anda telah memberikan mereka maklumat lengkap tentang rancangan perniagaan anda.

Sebenarnya, amat mudah bagi anda untuk mendapatkan maklumat, panduan dan tunjuk ajar bagi menyediakan rancangan perniagaan anda. Pada masa ini, banyak diadakan bengkel bimbingan usahawan, buku-buku tentang penulisan rancangan perniagaan dan laman web yang boleh anda rujuki. Malah telah ada di pasaran pakej perisian penulisan rancangan perniagaan yang boleh anda dapati pada harga yang murah.

Akhir kata, saya ingin mengambil mutiara kata dari Michele Adams, President & CEO of RenQuest & Associates untuk kita renungi bersama:

"Your business plan must be a living document,
a trusted guide for your business
and
for every critical business decision you make"

Fikir dulu sebelum bermula.

Wassalam.

Jumaat, 17 Oktober 2008

Nasihat Peribahasa - Untuk usahawan dan peniaga Melayu


Salam,

Saudara dan saudari, saya ingin memulakan coretan saya pada kali ini dengan satu rumusan pakar dan perunding perniagaan tentang mengusahakan perniagaan sendiri untuk kita kongsikan bersama. Kata mereka "Many of us hear the siren song of having own business, complete freedom, unlimited opportunity, dreams realized. But most don't succeed, why? What separate those who succeed from those who fail? 1) knowledge of business. 2) sufficient capital. 3) good experience and 4) unique idea at the right time"

Samaada anda baru ingin memulakan perniagaan atau telahpun mempunyainya, anda harus bermula di landasan yang betul. Banyak keputusan yang perlu dilakukan dan banyak peraturan serta prosedur yang perlu dipenuhi. Namun apa yang penting, anda wajib mempunyai satu rancangan perniagaan yang rapi. Tujuan saya di sini bukan untuk membincangkan bagaimana anda harus menguruskan perniagaan anda, tetapi ingin berkongsi penelitian nenek moyang kita melalui peribahasa yang boleh kita kaitkan dengan prinsipal dan formula perniagaan moden dalam arus globalisasi hari ini.

Jika anda ingin memulakan perniagaan dan hidup atas usaha sendiri bak kata pepatah sauk air mandikan diri, anda perlu menuruti langkah-langkah berikut:-

  • Langkah 1. Tujuan dan matlamat anda mesti jelas, bak kiasan nenek moyang kita ke mudik tentu hulunya ke hilir tentu muaranya. Kaitannya ialah jika anda ingin berniaga, ia wajib bermula dengan penyediaan satu rancangan perniagaan "business plan" yang akan menjadi "blueprint" atau rujukan kepada anda. Apabila anda sudah membuat persediaan, maka anda tidak akan gentar untuk berhadapan dengan cabaran, bak landasan yang kuat tidak takut pada penukul. Apa saja risiko atau rintangan yang anda hadapi dalam dunia perniagaan nanti, anda terus berusaha sehingga matlamat perniagaan anda tercapai laksana mudik menyongsong arus, hilir meyongsong pasang.
  • Langkah 2. Memastikan perniagaan anda mempunyai modal yang mencukupi. Anda perlu meneliti sumber modal bagi membiayai perniagaan anda, yang penting anda hendaklah ukur baju di badan sendiri, iaitu menilai kemampuan anda sendiri. Bak kata nenek moyang kita air dalam berenang, air dangkal bercebuk. Contohnya, apabila anda ingin membiayai modal pusingan, ikutlah kemampuan yang ada. Pendek kata, jika merancang untuk berbelanja, hendaklah dihalusi terlebih dahulu serta dilaksanakan dengan teliti bak kata pepatah sepuluh kali diukur, sekali dikerat.
  • Langkah 3. Anda perlu memahami kata-kata ini, kalau pandai meniti bueh, selamat badan ke seberang, maksudnya, anda perlu ada kemahiran atau pengalaman untuk menjalankan perniagaan anda, tanpa asas ini pastinya anda akan menghadapi kesukaran untuk bermula dan memasuki persaingan dalam pasaran. Namun begitu, Sekiranya anda kurang pengalaman, berkawanlah dengan mereka yang pandai serta bentuklah satu rangkaian dengan mereka yang berpengalaman melalui "smart partnership" takkan dahaga si penunggu telaga. Wajib kata, anda perlu melakukan berbagai usaha dan kaedah untuk berjaya umpama tak mara berdayung, bergalah. Patah galah bercemat.
  • Langkah 4. Kalau pandai menggulai, badarpun jadi tenggiri. Maksudnya, anda mesti ada ide atau kreatif dalam menjalankan perniagaan anda. Kalau ingin berjaya, kreativiti harus dipadukan dengan kerja yang efektif bak ungkap peribahasa kalau pandai mencincang akar, mati lalu kepuncaknya. sekiranya anda lalai mencipta peluang maka rugilah jawabnya umpama pergi ke telaga, lupa membawa timba, timba yang dicari dapat tapi tidak bertali.
Kesimpulannya, untuk berjaya dalam sesuatu perniagaan, kita wajib sukakan perniagaan itu, bak kata pepatah suka hati di dada, ringan beban di bahu maksudnya, apabila kita sukakan sesuatu pekerjaan itu, kerja susah terasa senang. Apa yang penting kita teruskan berusaha supaya perniagaan kita berkembang maju mengikut kekuatan sendiri. Tak dapat berjalan tegak, beringsut-ingsut sampai juga atau ikut laksana sirih, menjalar dulu kemudian melilit, barulah memanjat puncak junjung. Dalam kita memanjat tangga kejayaan, sebarang masalah yang dihadapi, selesaikan lah secara bijaksana tanpa menjatuhkan orang lain, umpama ular biar mati, tanah jangan lekuk, kayu jangan patah.

Setelah segala ikhtiar dan usaha telah kita laksanakan, kita berserah kepada Tuhan kerana sebagai hamba, manusia hanya mengikhtiarkan, Tuhan menentukan. Habis akal baru tawakkal.

Wassalam.

Isnin, 13 Oktober 2008

Sambutan Aidilfitri - Antara ibadat dan adat

Salam.

Kuala Lumpur, Ahad, 12 Oktober 2008. Saya telah menghadiri satu jemputan rumah terbuka Aidifitri di satu taman kediaman mewah di Ibu Kota. Suasananya meriah dan mesra. Para jemputan yang hadir kelihatan dari kalangan mereka yang berada dan punya status. Sambil beramah mesra dan makan-makan, topik perbualan banyak berkisar tentang ekonomi dan perkembangan politik tempatan serta dunia.

Dalam majlis tersebut, Saya duduk semeja dengan lima atau enam orang remaja Melayu, yang kelihatan "up to date dan trendy", generasi MTV agaknya. Mereka juga nampak mewah dengan pakaian dan asessori berjenama seperti Seed, Sub dan Versage. Mereka pandai berkomunikasi, menghormati orang dan agak informatif dalam perkembangan dunia hiburan. Banyak makluman yang saya perolehi daripada mereka terutamanya tentang genre muzik terkini, gigs, underground bands dan kegemaran remaja masakini fesyen ala "gothic society".

Saya sempat juga meminta pandangan mereka tentang sambutan Aidilfitri dan bagaimana seharusnya ia disambut. Berikut adalah pandangan jujur anak-anak generasi MTV ini. Amalan dan adat menyambut Aidilfitri ini adalah diwarisi daripada orang-orang tua dahulu. Sejak dulu hingga sekarang konsep sambutan sama sahaja. Aidilfitri harus disambut dengan penuh warna warni dan keseronokan berpesta raya. Contohnya, semua orang berbaju baru, rumah berhias baru, kuih berbagai, berbeli belah, balik kampung, rumah terbuka, duit raya, program TV yang hebat, dan tayangan filem-filem baru di pawagam.

Kemeriahan Aidilfitri ini dapat dirasakan sejak bermulanya bulan puasa. Sepanjang bulan itu begitu banyak diadakan majlis berbuka puasa di hotel dan kelab, majlis meraikan anak yatim dan orang tua, majlis derma dan sumbangan hari raya kepada ibu-ibu tunggal. Semuanya dilakukan dalam bulan puasa bagaikan satu pesta atau acara tahunan. Jika berbuka puasa ditempat esklusif lebih seronok lagi, sambil kita berbuka puasa, para tetamu dihiburkan dengan persembahan artis popular dan lagu-lagu raya.

Apa yang dikatakan oleh anak-anak muda ini benar. Kesedaran kita kepada konsep "Habluminnas" dan keperihatinan kita kepada mereka yang memerlukan hanya bermusim, bagai yang sering diucapkan dalam majlis-majlis sebegini "semoga bertemu lagi di lain tahun". Adalah juga benar, konsep sambutan Aidilfitri ini diwarisi. Sejak dahulu lagi ia tidak disambut sebagai satu sambutan keagamaan tetapi menjadi adunan diantara ibadat dan adat. Apa yang dikhuatiri, satu hari nanti anak cucu kita sudah tidak tahu lagi bagaimana Aidilfitri harus disambut mengikut syariatnya yang sebenar.

Aidilfitri adalah satu sambutan keagamaan. Bila disebut sebagai satu sambutan keagamaan maka ia menjadi satu ibadat. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah, "Sesungguhnya Allah telah mengurniakan 2 hari yang mempunyai kebaikan di dalamnya, iaitu Eidul-Fitr dan Eidul-Adha". Dan jika datangnya dari Allah sudah pasti ia tidak boleh dirayakan bertentangan dengan hukum Allah dan tidak juga boleh melampaui syariat hari perayaan tersebut.

Ada dua nilai murni dalam kita menyambut Aidilfitri. Pertama menghayati hubungan kita dengan Allah dengan mengagungkan asmaNya, mengucapkan kalimah takbir, tahlil dan tahmid serta bersujud kepadanya melalui solat sunat raya. Kedua, menghayati hubungan kasih sayang sesama insan melalui pengeluaran zakat fitrah kepada golongan yang memerlukan dan dilengkapi pula dengan tuntutan bermaaf-maafan antara satu sama lain. Inilah jiwa sambutan Aidilfitri sebenarnya.

Saya berpendapat, kesedaran untuk menyambut Aidifitri mengikut syariatnya perlu diterapkan kepada setiap anggota masyarakat. Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh para pemimpin yang mempunyai kuasa, pemimpin agama, pihak media dan ibu bapa. Kita mahu supaya anak cucu kita dapat dibimbing untuk memahami bagaimana Aidilfitri wajib disambut mengikut nilai-nilai agama Islam.

Tepuk dada tanya selera.

Wassalam.

Ahad, 12 Oktober 2008

Pantun untuk para pemimpin Melayu


Pemimpin yang berwibawa:-
Hijau menguning padi di sawah
Tunduk berisi bagai nak rebah
Pendirian kukuh tidak goyah
Menghadap cabaran tidak gelabah

Pemimpin yang berani:-
Kuala Lipis di negeri Pahang
Jauh dari Tasik Bera
Jangan ditakut jantannya orang
Hidup mati di tangan yang Esa

Pemimpin yang adil:-
Berdayung mudek ke Kuala Sepat
Kolek bocor dikayuhi juga
Kalau menimbang sama berat
Kalau mengukur sama tepat

Pemimpin yang pengasih:-
Duduk Jebat bersila panggung
Satria pembela paling terulung
Karam di laut jadi pelampung
Lumpuh di darat jadi pendukung

Pemimpin yang amanah:-Makan sirih berulas pinang
Pinang berasal dari Jerteh
Meski hanya sehalus benang

Tetap dijelas kemana dialih

Pemimpin yang dikenang:-Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Khamis, 9 Oktober 2008

Keperluan mengetahui banyak bahasa - Syor kepada anak cucu Melayu

Salam.

Saya merasa rugi kerana tidak mempelajari bahasa Cina, walaupun berpeluang untuk mempelajarinya sejak kecil lagi. Saya membesar bersama teman-teman keturunan Cina di kampung. Saya masih ingat lagi, dua orang sahabat saya bernama Ah Peng dan Yeoh mengesyorkan saya belajar bahasa Hokkien, tetapi saya lebih suka bertutur dengan mereka menggunakan bahasa ibunda sahaja. Saya menyangka dengan menguasai bahasa Melayu dan Inggeris sudah memadai untuk saya bersaing di negara ini.

Saya hanya menyedari pentingnya menguasai banyak bahasa selain bahasa Melayu dan Inggeris apabila mula berkerja dan berurusan dengan masyarakat korporat, peniaga dan orang ramai. Tambahan pula, dizaman globalisasi seperti sekarang, saya dapati mereka yang berupaya berbahasa asing mempunyai kelebihan dan nilai yang tinggi. Saya berpendapat kebolehan bertutur dalam banyak bahasa bukan lagi satu pilihan tetapi telah menjadi satu keperluan bagi mereka yang ingin berjaya dan maju kehadapan.

Melalui pengalaman ini, saya ingin mengesyorkan agar anak cucu saya, orang Melayu belajar menguasai banyak bahasa asing, kalau tidakpun sekadar boleh bertutur dengan baik sudah memadai. Hari ini, keutamaan pasaran kerja sudah menitikberatkan keupayaan tersebut. Pada masa akan datang, dengan perkembangan ekonomi dunia dan kesan dari rempuhan globalisasi, peluang kerjaya dan pasaran kerja bukan hanya di negara kita tetapi merentasi benua.

Sehubungan itu, anak Melayu perlu bangkit untuk menyaingi bangsa lain bergerak kehadapan. Kegagalan untuk bersaing akan menjadikan anak Melayu ketinggalan. Lihat saja keadaannya hari ini, terlalu sedikit anak Melayu yang menerajui syarikat-syarikat multinasional dan korporat. Anak cucu kita perlu disedarkan dan menyiapkan diri bagi menghadapi era persaingan kerja yang semakin kompetitif. Menurut seorang ekspatriat yang saya temui, seseorang yang menguasai bahasa asing yang penting dan bernilai komersial memiliki peluang lebih besar untuk diambil berkerja berbanding rakannya yang memiliki latar belakang pendidikan serupa.

Saya berpendapat ada tiga bahasa yang nampaknya sangat popular, iaitu Inggeris, Mandarin dan Jepun. Namun begitu, pemilihan untuk mempelajari bahasa asing seelok-eloknya yang bersesuaian dengan pekerjaan dan kerjaya kita. Secara minimalnya, anak Melayu wajar menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa asing. Pertama sekali harus kuasai bahasa Inggeris dan keduanya bahasa Mandarin, kerana diyakini kedua-dua bahasa ini membuka peluang lebih besar mengikut perkembangan ekonomi dunia.

Saya juga ingin mengesyorkan penglibatan berikut:-
  • Ibu-bapa Melayu wajar memberi sokongan dan menggalakkan anak-anak mereka mempelajari sekurang-kurangnya dua bahasa asing yang bersesuaian.
  • Para pemimpin Melayu dan mereka yang ada kuasa wajar menyedarkan anak-anak bangsa untuk mempelajari bahasa asing, menyumbangkan bahan-bahan bacaan dan pembelajaran atau apa saja demi masa depan anak bangsanya sendiri.
  • Pakar bahasa asing, para pengajar dan guru bidang bahasa asing wajar menawarkan diri secara sukarela untuk mengajar bahasa asing kepada anak-anak Melayu di desa-desa.
Kesimpulannya, kita mahu anak cucu kita nanti mempunyai pakej ampuh untuk menembusi pasaran kerja dan perniagaan di seluruh dunia terutamanya di Asia. Dengan kemampuan menguasai bahasa asing kita mahu anak cucu kita mempunyai keyakinan tanpa rasa kecil diri untuk menempatkan diri mereka dimana-mana pelosok dunia. Hanya kita saja yang boleh mengubah persepsi negatif masyarakat korporat terhadap bangsa Melayu.

Takkan Melayu hilang di dunia.

Wassalam.

Khamis, 2 Oktober 2008

Di hujung tanjung Kampung Sitiawan


Di hujung tanjung Kampung Sitiawan
Ketika matahari pagi baru mula menumpahkan kehangatannya
Dan awan putih meneduhi panorama di bawahnya
Hadir kedamaian

Di hujung tanjung Kampung Sitiawan
Melihat kedidi berlari di tengah beting
Dan memerang meratah ikan di gigi air
Terbuai keseronokan

Di hujung tanjung Kampung Sitiawan
Melihat bakau dan perepat tumbuh berjiran
Dan para nelayan berkerja berpasukan
Timbul keinsafan